CIPTA cetus idea kreatif, penerokaan inovasi




Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said






BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 25 Jun. - Sejak penubuhannya, CIPTA menjadi platform dalam mencetuskan idea-idea kreatif dan penerokaan inovasi.


Ia mencerminkan komitmen untuk melahirkan generasi yang berdaya tahan, berfikiran kompetitif serta dilengkapi dengan asas yang kukuh dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).


Perkara demikian dijelaskan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, selaku Pengerusi Majlis Universiti Teknologi Brunei (UTB) pada Majlis Pelancaran Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2027 (Crown Prince CIPTA Award 2027) berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pagi tadi.


“Aspirasi yang terkandung dalam CIPTA amat selaras dengan Wawasan Brunei 2035, yang berhasrat menjadikan sebuah negara yang diiktiraf kerana rakyatnya yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, mempunyai kualiti hidup yang tinggi serta ekonomi yang dinamik dan mampan.


“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa menekankan kepentingan pembangunan modal insan yang berkebolehan serta penerapan inovasi bagi memastikan negara terus berdaya tahan dan makmur dalam dunia yang semakin kompetitif," ujar Yang Berhormat Menteri Pendidikan.


Semasa Majlis Konvokesyen UTB Ke-10 pada tahun 2022, jelas Yang Berhormat, UTB turut menekankan kepentingan memanfaatkan hasil penyelidikan kepada paten dan produk yang dikomersialkan sebagai satu cara untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.


Baru-baru ini, dalam titah sempena Hari Guru 2025 tambah Yang Berhormat lagi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengetengahkan tema 'Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi', yang menekankan peranan penting para pendidik dalam memupuk inovasi serta membimbing generasi masa hadapan ke arah masa depan yang mampan dan berdaya tahan.


Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, aspirasi ini amat bertepatan dengan objektif CIPTA yang bukan sahaja bertujuan untuk menginspirasikan kreativiti dan inovasi, malah menggalakkan pembangunan penyelesaian berimpak tinggi yang berpotensi menjana nilai ekonomi serta menyumbang kepada kemajuan mampan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan rantau ini.


Tambah Yang Berhormat lagi, kita menyedari bahawa usaha untuk menghasilkan idea-idea baharu dengan sumber yang tersedia sering menjadi satu proses yang mencabar dan memerlukan usaha dan penambahbaikan yang berterusan serta ketabahan untuk mengatasi pelbagai rintangan.


Namun demikian, jelas Yang Berhormat, cabaran inilah yang menjadikan hasil akhirnya begitu bermakna dan memuaskan. Tiada yang lebih bermakna daripada menyaksikan cetusan imaginasi berkembang menjadi satu penyelesaian nyata yang mampu meningkatkan kualiti kehidupan serta memacu kemajuan masyarakat.


“Inovasi tidak berlaku secara bersendirian. Ia berkembang melalui kerjasama dan usaha kolektif kerajaan, institusi akademik, industri serta masyarakat. Oleh itu, saya menggalakkan pengukuhan kerjasama antara semua pihak berkepentingan, sama ada di dalam Negara Brunei Darussalam mahupun di seluruh rantau ASEAN, bagi terus memperkukuh ekosistem inovasi,"ujar Yang Berhormat.


Dengan bekerjasama dan memanfaatkan kekuatan yang kita miliki secara bersama tambah Yang Berhormat, kita mampu menghasilkan penyelesaian yang bukan sahaja menangani cabaran semasa, malah membentuk masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.


Close